Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Disiplin solat kukuh sistem pendidikan Islam

Posted by epondok di Januari 27, 2022


Oleh Abdurrahman Haqqi

Ummah perlu semai semangat sabar dalam ibadat untuk capai kejayaan

ISBIR dan istabir adalah dua perkataan dalam bahasa Arab untuk menunjukkan perintah bersabar. Kedua-duanya berasal dari kata ‘sa-ba-ra’ dan digunakan al-Quran dalam memerintahkan beberapa perkara seperti sabar berjihad, sabar menerima dugaan, sabar beribadah dan sabar melakukan solat.

Menariknya dalam al-Quran, dua perkataan ini digunakan jika perintah itu berkaitan dengan perkara selain solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘isbir’ sedangkan ketika ia berkaitan dengan solat, maka al-Quran menggunakan kata ‘istabir.’ Apa rahsianya?

Dalam kitab suci al-Quran kita dapati 25 kali penggunaan kata perintah ‘isbir’ dan ‘isbiru’, tapi hanya satu kali penggunaan ‘istabir’. Ada juga penggunaan kata lain yakni ‘sabiru’.

Semua perkataan ‘isbir,’ ‘isbiru’ dan ‘sabiru’ diterjemahkan sebagai ‘bersabarlah’ seperti dalam ayat bermaksud: “Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan.” (Surah Taha: 130). Tapi, kata ‘’istabir’ diterjemahkan menjadi ‘tekun bersabar’ seperti dalam ayat bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 133) Ada dua kata kunci yang boleh diterapkan dalam sistem pendidikan Islam inspirasi ayat ini yakni peraturan dan teknik atau seni melakukan peraturan.

Perbincangan menarik perhatian jemaah Masjid Muara, Brunei Darussalam ini timbul dalam sesi muzakarah antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei dan jemaah masjid berkenaan sempena aktiviti kokurikulum pelajar UNISSA dalam program ‘Minal Jami’ah ilal Masjid’ (Dari Universiti ke Masjid). Muzakarah atau dialog berkenaan dipimpin Rektor UNISSA, Dr Hj Serbini Metahir.

Kalangan sahabat sudah dididik secara langsung menerusi kepemimpinan mulia Nabi Muhammad SAW dari sejak bermulanya dakwah Islam. Ayat Taha di atas diturunkan di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah yang mana komuniti Islam yang berdaulat sudah diwujudkan. Bagaimanapun, solat dalam komuniti Islam yang belum berdaulat di Makkah sudah menjadi tumpuan utama pelaksanaan jati diri individu Muslim bimbingan Rasulullah.

Baginda diperintah oleh Allah SWT agar memerintahkan kepada keluarga dan umatnya untuk melakukan solat dan bukan hanya itu, tetapi mereka semua diperintah untuk tekun bersabar dalam menunaikannya. Mengapa demikian?

Solat sebagai tiang agama adalah syarat berdirinya satu-satu bangunan. Tidak ada tiang, bangunan tidak wujud. Agar bangunan agama diri kita tetap berdiri dan kukuh maka kita memerlukan untuk sentiasa melakukan solat. Malah solat adalah punca ketenangan jiwa dan ia juga yang mententeramkan hati dan menyejukkan minda yang kemudian akan memberi sinar pada wajah dan menyihatkan badan.

Dalam pelbagai urusan sangat penting, seperti dalam buku La Tahzan, Rasulullah selalu melapangkan hatinya dengan melakukan solat, misalnya, pada ketika Perang Badar, Ahzab dan kesempatan lain.

Ibnu ‘Asakir dan Ibnu al-Qayyim menceritakan bahawa seorang hamba salih dihadang oleh seorang perompak di sebuah jalanan di Syam. Perompak itu berusaha untuk membunuhnya. Hamba salih itu meminta diberi kesempatan untuk mengerjakan solat dua rakaat. Maka bangkitlah dia mengerjakan solat. Pada saat itu, dia teringat firman Allah SWT bermaksud: “Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang sedang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya.” (Surah al-Naml: 62)

Dia membacanya tiga kali. Maka turunlah malaikat dari langit membawa pedang dan dengan pedang itu dia membunuh perompak itu. Malaikat itu berkata: “Aku adalah utusan Zat Yang Memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan.”

Ketika Ibnu Kathir mentafsir ayat Taha di atas, dia berkata: “Yakni carikan jalan keselamatan untuk keluargamu daripada seksaan Allah SWT dengan melakukan solat dan sentiasa tekun bersabarlah engkau dalam menunaikannya.” Dan mengapa perintah melakukan solat dan bersabar menunaikannya ini dikaitkan dengan rezeki?

Rezeki bukan saja dalam bentuk wang ringgit seperti yang kita bayangkan selama ini. Kesihatan juga rezeki, kebahagiaan juga rezeki, kedudukan juga rezeki, dan ilmu juga rezeki. Jadi, solat akan menjadi penyebab utama kita mendapatkan rezeki kerana dengan jelas ayatnya mengingatkan kepada kita jangan risau dengan masalah rezeki dalam hidup kita kerana ini adalah urusan Allah SWT. Mustahak adalah dirikanlah solat dan bersabar dalam menunaikannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad dan juga kalangan nabi yang lain apabila mereka ditimpa kesusahan mereka akan bersegera untuk melakukan solat. Al-Tirmizi meriwayatkan satu hadis maksudnya: “Berfirman Allah Ta’ala: “Wahai anak Adam! Tumpukan seluruh ibadatmu kepada-Ku nescaya Aku penuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku jauhkan kemiskinan darimu. Dan jika seandainya kamu tidak melakukan yang demikian itu maka nescaya akan Aku penuhi hatimu dengan pelbagai kesibukan duniawi dan Aku akan membiarkan kemiskinan menghampirimu.”

Dalam situasi penuh pancaroba ini yang mana kita risaukan generasi kita maka panduan al-Quran ini sesuai untuk dipertimbangkan. Apabila kita menghidupkan semua sistem pendidikan Islam dengan semangat solat sudah tentu janji SWT Allah akan kita dapati dengan mudah dan kita akan hidup selesa dan berbahagia.

Tinggalkan komen