Rencana | PRN Sabah: Lapangan Ujian Politik

Tahun 2020 kelihatan lebih mencapai ‘kemajuan’ politik yang jauh memadamkan nostalgia Wawasan 2020, ia sekadar menjadi impian kemajuan negara Malaysia yang telah dicetuskan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1991.

Awal tahun 2020 iaitu pada 29 Febuari, politik negara beralih ke titik anjakan luarbiasa yang menambah dinamik corak siasah Malaysia Pakatan Harapan ditumbangkan, Perikatan Nasional didirikan menjadi pemerintah kerajaan Persekutuan.

Penghujung bulan Julai, Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan dan dilangsungkan pilihan raya mengejut (snap election) pada 26 September 2020.

PRN Sabah menjadi lapangan ujikaji politik. Dinamika siasah sedang berlaku di Sabah. Tiga koalisi politik berentap kali ini iaitu parti pemerintah, Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional dan Warisan Plus. Pakatan Harapan nampak sudah pudar populariti, maka dengan segera DAP dan Amanah bersetuju untuk terus bersama Warisan membentuk gabungan Warisan PLUS serta menggunakan logo Warisan. Cuma PKR yang sejak awal berkeras mahu menggunakan logo PH dan menuntut bertanding 14 kerusi dun.

Alasan PKR menuntut sebilangan kerusi ditambah kerana menggunakan asas bahawa mereka adalah parti terbesar di Sabah dengan keahlian seramai 150 ribu orang yang merupakan bilangan kedua terbesar selepas PKR Selangor. Namun faktor itu bukan dipandang oleh Shafie Afdal. Faktor kemenangan yang diutamakan, Shafie selamba menempelak PKR semasa ucapan bersemangat dalam majlis pengumuman calon-calon Warisan Plus.

Beliau menegaskan ini bukan masanya memikirkan ‘maruah’ PKR sebagai parti terbesar nasional, dulu diberikan lapan kerusi tetapi PKR mampu menang dua kerusi sahaja. Tambah sindiran Shafie lagi, kali ini PKR diberi tujuh kerusi dan moga diharapkan dapat menang tiga atau empat kerusi. Betapa terpukulnya Anwar dan PKR di Sabah. Shafie Afdal menyedarkan PKR secara sinis bahawa parti Anwar Ibrahim itu tidak popular berbanding Warisan. Shafie benar-benar memberi tamparan hebat kepada PKR.

PH juga bakal menguji tahap sokongan rakyat kepada mereka. Mungkin DAP dan Amanah menyedari populariti PH merundum berdasarkan survey Merdeka Center turun 25 peratus berbanding 64 peratus semasa PRU-14, kedua-dua parti ini tidak memilih jalan keras sebagaimana PKR. DAP dan Amanah memilih untuk akur mengikut politik warlord gaya Shafie Afdal.

Shafie Afdal akan menggunakan PRN kali ini sebagai momentum politik buat Warisan. Beliau sedar ‘mandat katak’ yang digunakan semasa ingin mencaras Musa Aman dan BN daripada menjadi pemerintah Sabah sebelum ini tidak berasaskan kekuatan mandat sebenar. Warisan hanya menang 21 kerusi dun dan BN menang 29 kerusi dan kekuatan BN itu disokong pula oleh dua kerusi tambahan daripada Star Sabah yang diketuai Jeffery Kitingan menjadi 31 kerusi bagi mandat ‘simple majority’.

Minima untuk mencapai maruah, Warisan sahaja harus menang 35 kerusi dan sekutu rapatnya, UPKO pula wajib menang minima lima kerusi bagi mencapai angka kemenangan 40 kerusi jika rakan PH mereka tewas semua kerusi ditandingi.

Barisan Nasional sudah pasti mahu mengembalikan keyakinan rakyat Sabah sebagaimana gabungan ini menikmati kuasa secara selesa pada tahun 2004-2014 dengan memenangi 96 peratus daripada 60 kerusi dun keseluruhan. Penguasaan BN dalam tempoh itu telah menjadikan BN satu-satunya parti pemerintah negeri dominan paling lama berbanding Usno, Berjaya dan PBS.

Akan tetapi BN sudah dibadai ombak politik PRU-14 lalu, Umno Sabah sendiri hanya berupaya memenangi 17 kerusi berbanding 32/33 kerusi semasa PRN 10 & 11 dulu. Namun untuk kali ini mampukah Umno kembali memenangi sejumlah besar kerusi ditandingi?

Harus ingat bahawa tambah nilai dan nyawa politik Umno-BN berkaitrapat dengan kemunculan Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu bersama Pas, Star, SAPP dan PBS.

Perikatan Nasional secara rasmi menjadikan PRN Sabah ini sebagai perlawanan pertama mereka dalam pilihanraya di negara ini. Kemunculan mereka sangat radikal yang telah membuatkan dinamika politik Malaysia lebih terbuka. Kemunculan Perikatan Nasional ini sangat dibenci oleh PKR dan DAP. Awalnya ketua penerangan PKR, dan Naib Ketua AMK PKR, telah memainkan isu status pendaftaran Perikatan Nasional yang mereka berdua dakwa adalah ‘gabungan tak sah’ keran tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Namun serangan itu gagal dan terpadam setelah Pendaftar Pertubuhan sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan bahawa Perikatan Nasional adalah berdaftar secara sah.

Muhyiddin Yassin dianggap segelintir pihak sebagai lemah tetapi ketika ini beliau masih memimpin dan mengemudi negara dalam keadaan baik, dibantu pula oleh taktikal dan strategi Azmin Ali. Kedua-dua pimpinan ini bukan dungu atau lemah, mereka juga ada pemikiran kritis dengan situasi semasa politik negara. Setakat ini kerjasama dan persefahaman strategik antara Perikatan Nasional dengan GPS dan BN masih berlangsung dengan lancar. Rakyat juga menyenangi watak Muhyiddin Yassin. Tidak ada gambaran Najib Razak dipalitkan dengan Muhyiddin walaupun kerjasama politik berlaku dengan Umno. Itulah seni dalam politik. ‘Kowtim’ dicapai untuk situasi menang-menang.

Jangan terlupa juga kepada Parti Cinta Sabah. Iltizam dan semangat PCS bertanding di semua 73 kerusi dun sangat menarik untuk dibicarakan. PCS telah ditubuhkan oleh Wilfred Bumburing dua tahun selepas PRU-13 tahun 2013 lepas. Kemudian tahun ini, pucuk pimpinan PCS telah diterajui Anifah Aman, bekas MP Kimanis dan Menteri Luar.

PCS mengambil pendekatan tidak bergandingan dengan mana-mana parti tetapi bersendirian menghadapi PRN ini. Jangan juga menafikan potensi parti ini kerana mereka berupaya menghadirkan kejutan untuk potensi memenangi sekurangnya 10 kerusi. Jika difikirkan faktor kewangan dan logistik, sudah tentu PCS memerlukan dana berjuta ringgit bagi melalui proses pilihanraya di semua 73 kerusi dun. BN sendiri pun hanya bertanding 41 kerusi dan Warisan bertanding 46 kerusi.

Samada Warisan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, tahap kemenangan yang bakal diraih selepas 26 September nanti akan mencorak suatu lagi dinamik politik di Sabah.

Comments

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started