Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak mempunyai dasar khusus berkaitan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana agenda ESG dipacu oleh pemain industri dan ekonomi berpandukan dasar-dasar sedia ada KASA yang menyokong dasar pembangunan mampan.

Menurutnya, dasar pembangunan mampan pula selari dengan pembangunan dan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, katanya sasaran dan indikator di bawah agenda SDG adalah luas serta merentas sektor dan kementerian lain.

“Sebagai contoh, dengan kesan perubahan iklim yang semakin meluas dan ketara, serta meninggalkan impak kepada negara, ekonomi, dan sistem kewangan kita, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama rapat dengan industri kewangan.

“Ini bertujuan membina sektor kewangan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan memberikan sokongan ke arah peralihan negara kepada ekonomi hijau dan amalan lestari,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) yang meminta KASA menyatakan perancangan dan pendirian kerajaan dalam melaksanakan inisiatif ESG seperti yang digariskan di dalam rangka kerja PBB.

Tuan Ibrahim berkata, KASA melalui Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020-2030 turut memastikan matlamat pembangunan mampan di bawah PBB diterapkan dalam pelaksanaan dasar-dasar di bawah kementerian yang meliputi agenda kerajaan, dasar semasa kerajaan dan agenda pembangunan mampan negara.

Menurutnya, pelan strategik ini turut meliputi amalan ESG yang mengintegrasikan matlamat SDG di bawah PBB dengan menetapkan 35 inisiatif berdasarkan empat teras utama.

“Teras pertama ialah pengukuhan governan, iaitu sebagai langkah proaktif pemantapan institusi pelestarian di peringkat kementerian melalui akta, peraturan dan dasar yang diolah untuk meningkatkan autonomi dan akauntabiliti KASA.

“Teras kedua ialah pertumbuhan hijau yang dibangunkan untuk memacu agenda pertumbuhan hijau yang menjadi pemangkin pembangunan mampan yang mengimbangi keperluan ekonomi, sosial serta alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, teras ketiga pula ialah kolaborasi strategik yang dibangunkan untuk memastikan agenda pelestarian disokong oleh semua pemegang taruh melalui pemantapan kerjasama sedia ada dan kerjasama akan datang.

Teras keempat pula, katanya ialah keterangkuman sosial yang dibangunkan bagi memastikan elemen sosial diambil kira agar semua pihak boleh menjadi ejen penyumbang kepada agenda pelestarian negara.

Tamat

Sumber – Harakah Daily