Isu jawi, tak puas hati selesai di peti undi, kata mahkamah

KUANTAN: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan 3 ahli perniagaan memohon semakan terhadap keputusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan Pahang berhubung penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda kedai.

Hakim Zainal Azman Abdul Aziz berkata Jehan Abdullah, Phang Long Yen, dan A Dana Palan, berhak membawa isu itu ke mahkamah tetapi penyelesaiannya menerusi pilihan raya, kerana isunya berkenaan dasar.

“Kalau rakyat tidak puas hati, tunjukkan di peti undi,” katanya.

Zainal juga berkata keputusan memperkenalkan Jawi itu tidak perlu diwartakan kerana ia maklumat yang berkenaan ada dalam akhbar.



Katanya, pihak berkuasa tempatan turut mengirim surat memaklumkan semua perniagaan dalam kawasan terlibat tentang arahan itu.

“Tambahan pula, pihak berkuasa negeri diberi kuasa untuk mengarahkan MPK memperkenalkan Jawi pada papan tanda,” katanya, dan menambah mahkamah tidak boleh campurtangan keputusan berkaitan dasar seperti itu.

Pemohon memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan (LGA) menyalahi Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia menghalang akses rakyat kepada keadilan dan fasal bersifat arbitrari.

Peruntukan itu menyatakan setiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada syarat dan sekatan yang dirasakan wajar oleh pihak berkuasa tempatan, dan boleh dimansuhkan pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebab.



Atas sebab itu, Zainal berkata pemohon sepatutnya mencabar hal ini di Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan.

Jehan, Phang, dan Dana Palan diperintahkan untuk membayar RM5,000 kepada MPK dan RM5,000 kepada kerajaan negeri.

Peguam, T Gunaseelan, yang mewakili pemohon bertiga, memaklumkan beliau diarah untuk merayu.

Jehan, Phang, dan Dana Palan mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri berkenaan Jawi yang dibuat pada 1 Mac 2018.



Mereka bertiga juga mahu pihak berkuasa tempatan membatalkan arahan bertarikh 3 April 2019 yang mengarahkan semua perniagaan dalam bidang kuasanya memaparkan Jawi pada papan tanda.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Abd Rahim Muda, pada 31 Dis berkata mereka yang tidak patuh arahan itu boleh didenda RM250.

Beliau berkata lesen perniagaan boleh dibatalkan jika enggan patuhi arahan itu.

Pahang sebelum ini mengumumkan semua premis perniagaan dan tanda jalan di negeri itu menggunakan tulisan Jawi disamping tulisan Rumi. FMT



PAS sokong Kerajaan Pahang wajibkan tulisan Jawi di papan kenyataan dan premis perniagaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker